Majlis pelancaran dan persembahan bagi acara "Show My China: Bintang Menyerlah di Dataran Tengah" (Zhengzhou 2026) telah berlangsung pada 6 November di New Bodu, sebuah kawasan tumpuan pelancongan dan kebudayaan di Zhengzhou, Wilayah Henan di tengah China. Pencipta kandungan dalam talian dan wartawan dari seluruh China berkumpul di bandar itu menerusi program "Show My China" untuk mengetengahkan kisah dan keunikan Zhengzhou melalui perspektif generasi muda.

Dengan bertemakan "Gelombang Baharu di Kota Purba Bo: Menelusuri Jiwa Muda Zhengzhou", acara itu dianjurkan oleh Jabatan Publisiti bagi Jawatankuasa Perbandaran Parti Komunis China (CPC) Zhengzhou bersama Pentadbiran Ruang Siber Perbandaran Zhengzhou.

Susulan pelancaran tersebut, lebih 20 pasukan penerbit kandungan yang terdiri daripada pempengaruh media sosial serta studio wartawan pempengaruh Xinhua akan menyusuri lima laluan yang merangkumi lebih 20 lokasi warisan budaya dan tarikan pelancongan -- daripada tempat kelahiran penyair Dinasti Tang, Du Fu, di Gongyi dan Taman Kreatif dan Kebudayaan Ersha sehinggalah ke Muzium Tapak Ibu Kota Dinasti Shang Zhengzhou; kompleks teater "Only Henan"; serta monumen Warisan Dunia UNESCO di Gunung Song, Dengfeng, yang dikenali sebagai "Pusat Langit dan Bumi". Menerusi pengembaraan ini, peserta akan menelusuri sejarah, budaya dan keistimewaan Zhengzhou, sekali gus memperkenalkan daya tarikan tersendiri bandar itu kepada khalayak yang lebih luas.

Dilancarkan pada September 2023, program "Show My China" kendalian Xinhua itu mengetengahkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat di seluruh China. Program ini meraih perhatian meluas serta menerima sambutan positif daripada pengguna internet di China.

Terletak di kaki timur Gunung Song dan di tebing Sungai Kuning, Zhengzhou merupakan antara lapan ibu kota purba China dan sedang dibangunkan sebagai sebuah bandar pusat kebangsaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Zhengzhou giat memanfaatkan kekayaan warisan budayanya untuk memacu sektor pelancongan, di samping memperkaya pengalaman kebudayaan melalui pembangunan pelancongan. Usaha mengintegrasikan sektor kebudayaan, pelancongan dan industri kreatif turut mencatatkan kemajuan baharu. Hasilnya, empat kluster pelancongan utama telah dibangunkan, iaitu kluster taman tema di bahagian timur yang berpusat di "Only Henan" dan Jianye Movie Town; kluster peranginan pergunungan di bahagian barat yang disokong oleh Yinji dan Gunung Fuxi; kluster kebudayaan dan kesejahteraan di bahagian selatan yang berteraskan Gunung Song; serta kluster Sungai Kuning di bahagian utara yang menampilkan Taman Kebudayaan Kebangsaan Sungai Kuning dan Taman Tapak Warisan Dahecun.

Di kawasan pusat bandar pula, usaha pembaharuan bandar telah merancakkan pembangunan beberapa kawasan rekreasi yang mempunyai identiti tersendiri, seperti Taman Kreatif Kilang Minyak dan Kimia Zhengzhou Memory 1952, New Bodu, Fuminli, Taman Kreatif dan Kebudayaan Ersha serta Mo Street. Kawasan-kawasan ini menggabungkan pemandangan indah dengan kehidupan bandar, membentuk satu landskap yang dinikmati bersama oleh penduduk tempatan mahupun pengunjung.

 

Majlis pelancaran acara "Show My China: Bintang Menyerlah di Dataran Tengah" (Zhengzhou 2026)